Sabtu, 7 Disember 2019 | 5:27pm
Lokasi kejadian tiga lelaki warga Indonesia maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Ladang Chin Fatt, Gedok, Gemencheh. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Lokasi kejadian tiga lelaki warga Indonesia maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Ladang Chin Fatt, Gedok, Gemencheh. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Kematian 3 lelaki Indonesia, 3 suspek direman seminggu

SEREMBAN: Tiga suspek yang ditahan polis semalam susulan kematian tiga lelaki Indonesia selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Ladang Chin Fatt, Gedok di Gemencheh, Tampin, direman seminggu bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal, berkata reman terhadap tiga suspek warga Indonesia itu bermula hari ini.

“Kita mendapat reman tiga suspek berusia 29 dan 42 tahun itu sehingga Jumaat ini untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ketiga-tiga suspek yang juga penghuni rumah kongsi berkenaan, direman di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tiga lelaki warga Indonesia maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di rumah kongsi satu tingkat sebelum mayat mereka di temui dalam sebuah bilik dalam keadaan berlumuran darah.

Selain itu, pemeriksaan polis turut mendapati ketiga-tiga mayat berkenaan mempunyai banyak kesan luka yang dipercayai akibat senjata tajam.

Pihak polis turut menemui sebilah sabit panjang yang mempunyai kesan darah, sebilah pisau dan beberapa kesan darah di tempat kejadian.

Berita Harian X