Selasa, 10 Disember 2019 | 11:49am
Najib dan Rosmah keluar dari Mahkamah Sesyen Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar jaminan, Oktober 2018. - Arkib NSTP/Luqman Hakim Zubir

Rosmah pilih sendiri jam tangan mewah

KUALA LUMPUR: Jam tangan mewah bernilai RM466,330 yang dibeli di butik Chanel, Honolulu, Amerika Syarikat (AS) sempena hadiah ulang tahun kelahiran dipilih sendiri oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Jam tangan itu dibeli Datuk Seri Najib Razak bagi menebus rasa bersalah kerana percutian keluarganya terpaksa ditangguhkan dan kebetulan ulang tahun kelahiran isterinya itu sudah hampir tiba.

Perkara itu didedahkan Najib ketika menjawab soalan peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Najib berkata, beliau membeli jam tangan itu pada 22 Disember 2014 kerana terpaksa pulang segera ke Malaysia berikutan Kelantan dilanda banjir teruk.

Beliau berkata, kebiasaannya percutian bersama keluarga mengambil masa antara 10 hari hingga dua minggu, tetapi pada 2014 percutian terpaksa dipendekkan berikutan mendapat berita banjir teruk luar biasa di negeri itu.

“Mereka (keluarga) begitu sedih saya terpaksa tinggalkan mereka dan balik ke Malaysia serta-merta, pada hal percutian hujung tahun itu untuk meraikan ulang tahun isteri.

“Sudah tentu (keluarga) kecewa dengan keputusan saya apatah lagi anak saya, Ashman yang bekerja di Istanbul turut berlepas ke Honolulu.

“Saya kemudian mengambil keputusan membeli sesuatu yang dipilih isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau hanya menggunakan kad kredit bagi pembelian jam tangan untuk Rosmah dan bukannya untuk pembelian lain.

Katanya, sebarang dana diterima adalah mengikut budi bicaranya dan jam tangan mewah itu satu-satunya keperluan peribadi yang dibeli menggunakan kad kredit.

Muhammad Shafee: Jam tangan ini agak mahal dan kamu ada belikan hadiah lumayan lain?

Najib: Tiada

Sebelum ini, dalam keterangan Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong berkata, caj RM466,330.11 dikenakan ke atas kad kredit Visa Platinum Najib di kedai jenama mewah di Honolulu.

Berita Harian X