Rabu, 1 Januari 2020 | 10:16am
ANGGOTA penguatkuasa JAIK menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat dalam operasi sempena Tahun Baru. - Foto Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA penguatkuasa JAIK menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat dalam operasi sempena Tahun Baru. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Dicekup memadu kasih bersama janda

[email protected]

ALOR SETAR: Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel murah di Jalan Tambang Badak, di sini pada malam sempena Sambutan Tahun Baharu 2020 awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan dicekup anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama seorang wanita berstatus janda berusia 31 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Radzi Abdul Mutalib, berkata pihaknya terpaksa menunggu sehingga 30 minit sebelum pasangan terbabit membuka pintu bilik berkenaan.

Katanya, sebaik pintu dibuka, pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki berpakaian lengkap sebelum pasangannya ditemui bersembunyi di dalam bilik air.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu mengaku sudah berkahwin dan berasal dari Bedong, Sungai Petani, manakala pasangannya pula berasal dari Selangor dan bekerja di negeri ini.

“Mereka memberi alasan takut menyebabkan mereka mengambil masa lama untuk membuka pintu bilik berkenaan,” katanya ketika ditemui BH, di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, dalam pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Pegawai, di sini, seorang wanita dicekup kerana disyaki berkhalwat dengan lelaki yang didakwa sepupunya pada jam 3 pagi.

Wanita berstatus isteri orang berusia 29 tahun itu turut membawa bersama bayinya yang berusia enam bulan ketika berada dalam bilik bersama lelaki terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu berasal dari Melaka dan pasangannya menetap di sini.

“Kita tahan kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 38 tahun kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X