Sabtu, 11 Januari 2020 | 12:19am
ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Tanjung Labuh, Batu Pahat. NSTP/Ihsan Bomba Penyelamat
ANGGOTA Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Tanjung Labuh, Batu Pahat. NSTP/Ihsan Bomba Penyelamat

Suami isteri maut kemalangan

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 122 Jalan Johor Bahru-Melaka, Tanjung Labuh dekat Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang, kereta Nissan Almera terbabit dinaiki lelaki berusia 58 tahun, isterinya berumur 59 tahun bersama dua anak mereka berusia 28 tahun dan 15 tahun.

“Lelaki terbabit yang juga pemandu Nissan Almera, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Isterinya yang duduk di bahagian penumpang pula maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Azhan berkata, kedua-dua anak pasangan itu dan lelaki berusia 53 tahun yang memandu lori membawa muatan tong gas terbabit, turut mendapat rawatan di HSNI.

Bagaimanapun, beliau berkata, isteri pemandu lori berumur 51 tahun yang duduk di bahagian penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Berita Harian X