Isnin, 20 Januari 2020 | 7:10pm

Ayah Boss, 113 pengikut ditahan polis ketika angkat sumpah kongsi gelap

Kuala Lumpur: Seramai 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS), termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, kumpulan terbabit dipercayai sedang bersiap sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah yang diadakan di sebuah premis.

Polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran ahli Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (BATAS) serta enam al-Quran dan sejadah, yang dipercayai bagi tujuan majlis angkat sumpah atau ‘baiah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, mengesahkan ketua kumpulan berkenaan dikenali sebagai Ayah Bos, berusia 50 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

Yang turut ditahan adalah Ayah TCB atau Taucu Bhai, Ayah Man Keramat dan beberapa individu lain dipercayai kononnya pemimpin kumpulan BATAS dan PAKIS, di sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan maklumat, kumpulan yang turut mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap ‘Double Seven’ itu akan menjalankan upacara atau majlis angkat sumpah tanda setia bagi pemimpin dan ahli kumpulannya.

“Ketika serbuan dibuat, seramai lebih 100 lelaki sedang duduk bersila dalam keadaan berbaris di ruang tamu dan pihak polis percaya satu upacara angkat sumpah bakal diadakan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH.

Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan awal di lokasi serbuan, pihaknya turut merampas buku resit BATAS, buku pendaftaran, borang permohonan, cop pertubuhan amal, pelekat pertubuhan tulisan Thailand, pelekat dan pelbagai jenis cop.

Pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rekod jenayah lampau pembabitan semua individu yang ditahan, termasuk kesalahan dalam aktiviti jenayah terancang.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X