Ahad, 26 Januari 2020 | 9:44am
Peta menunjukkan kawasan yang berwarna merah tempat bermulanya wabak coronavirus dan menular ke negara lain (berwarna putih). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Polis tahan semula pelancong China

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti coronavirus dan dilarikan ibu bapanya yang mengelak kuarantin di sini, sudah ditahan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 9.20 malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din, juga mengesahkan laporan polis yang dibuat seorang doktor Hospital Sultanah Aminah awal pagi semalam mengenai kejadian itu yang tular di media sosial malam tadi.

“Ya. Malam tadi mereka sudah ditahan semula di lapangan terbang dan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi tindakan lanjut

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din. - Foto NSTP

“Malam tadi juga semua mereka dirujuk ke hospital bagi dikuarantin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam tular di laman sosial berhubung laporan polis dilakukan seorang doktor berusia 26 tahun awal pagi semalam mengenai seorang kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang dibawa keluar dari sebuah hospital awam, di sini oleh ibunya bapanya sekali gus ingkar arahan untuk menjalani kuarantian selepas disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus.

Difahamkan ibu bapa kanak-kanak itu tidak mahu anak mereka yang mempunyai simptom coronavirus itu dikuarantin kerana mahu menaiki penerbangan pulang ke China.

Menerusi laporan polis yang tular, kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk serta dinasihat untuk dikuarantinkan.

Namun, bapanya terus berdegil walaupun dijelaskan mereka tidak akan dapat melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang, sebaliknya hanya mahu anaknya dirawat dengan ubat demam dan batuk sahaja.

Berita Harian X