Isnin, 3 Februari 2020 | 7:24am
Keadaan dua kenderaan yang bertembung hingga mengorbankan tiga mangsa dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Papar. - NSTP/Juwan Riduan
Keadaan dua kenderaan yang bertembung hingga mengorbankan tiga mangsa dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Papar. - NSTP/Juwan Riduan

Tiga maut, tiga parah kenderaan bertembung

PAPAR: Keliru keadaan jalan yang dalam pembinaan dan tiada lampu jalan dipercayai antara faktor dua kenderaan bertembung mengakibatkan tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Lama Papar - Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Kemalangan jam 8.30 malam itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero Sport.

Tiga lelaki maut daripada kenderaan Ford Ranger dikenali sebagai [email protected] Gantak, 64, Muah Kising, 60, Jebol Godog, 61.

Keadaan dua kenderaan yang bertembung hingga mengorbankan tiga mangsa dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Papar. - NSTP/Juwan Riduan
Keadaan dua kenderaan yang bertembung hingga mengorbankan tiga mangsa dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Papar. - NSTP/Juwan Riduan

Mangsa parah Norafny Bibas, 37, Adi Peter, 36 dan seorang lagi mangsa parah hanya dikenali sebagai John.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati Ford Ranger dinaiki lima lelaki dari arah Kampung Tanaki ke Kampung Talantang, Bongawan manakala Mitsubishi Pajero Sport dinaiki dua individu dari arah Keningau ke Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung hingga menyebabkan pemandu dan dua penumpang Ford Ranger maut di tempat kejadian manakala dua penumpang kenderaan itu parah dan cedera ringan.

"Pemandu dan Mitsubishi Pajero Sport juga parah. Mangsa yang parah dan cedera ringan kemudian dikejarkan ke Hospital Papar. Tiga mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba membawa keluar salah seorang mangsa daripada kenderaan Ford Ranger. - NSTP/Juwan Riduan
Anggota bomba membawa keluar salah seorang mangsa daripada kenderaan Ford Ranger. - NSTP/Juwan Riduan

Batholomew berkata, siasatan awal mendapati kawasan tempat kejadian adalah gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan dan tempat kejadian masih dalam pembinaan jalan raya Pan Borneo.

"Pengguna jalan raya masih keliru dengan jalan raya yang belum siap sepenuhnya walaupun diberi akses kepada pengguna jalan raya.

"Faktor lain yang didapati kedua-dua kenderaan dipercayai memandu dengan kelajuan yang tinggi hingga gagal untuk mengelak dan kesan remukan pada kedua-dua kenderaan adalah teruk akibat pertembungan yang kuat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X