Isnin, 3 Februari 2020 | 8:28pm
Anggota Penguatkuasa JAIK menyoal siasat 13 individu yang ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam sebuah rumah di Jalan Tambang Badak. - Foto Ihsan JAIK
Anggota Penguatkuasa JAIK menyoal siasat 13 individu yang ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam sebuah rumah di Jalan Tambang Badak. - Foto Ihsan JAIK

7 wanita, 6 lelaki dicekup berkhalwat

ALOR SETAR: Tiga belas individu berumur 17 hingga 30 tahun dicekup dipercayai berkhalwat oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam sebuah rumah di kawasan Tambang Badak, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dalam serbuan jam 9 pagi, mereka yang ditahan adalah tujuh wanita dan enam lelaki.

Beliau berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam apabila mereka dipercayai berkurung dalam rumah terbabit sehingga mengundang syak. Hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati semua mereka penduduk tetap di negeri ini.

“Ketika ditahan, mereka memberi alasan hanya bersembang namun ketika itu keadaan pintu tertutup rapat menimbulkan syak berlakunya kegiatan maksiat.

“Selain itu, pihak kami menerima banyak aduan berkaitan ada remaja lelaki yang keluar masuk ke rumah yang disewa hanya tiga individu sahaja di rumah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua mereka tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri, berikutan itu, semua mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Kebanyakan remaja itu ada bekerja sebagai penjawat awam, kedai telefon bimbit dan bekerja swasta,” katanya.

Radzi berkata, pihaknya kemudian menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan ujian saringan air kencing terhadap mereka.

Beliau berkata, 10 daripada 13 yang ditahan itu positif dadah dan diserahkan kepada polis.

“Kita menasihatkan ibu bapa supaya nengawasi anak-anak mereka dari terjebak dalam kegiatan tidak bermoral atau maksiat yang boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya.

Berita Harian X