Rabu, 25 March 2020 | 8:40pm
Suspek warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR ditahan di Rawang, petang tadi. - foto ihsan pembaca
Suspek warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR ditahan di Rawang, petang tadi. - foto ihsan pembaca

Lelaki ragut pembantu jururawat dicekup

KUALA LUMPUR: Lelaki yang meragut seorang pembantu jururawat wanita di Bandar Baru Rawang, dekat sini Jumaat lalu, berjaya diberkas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata suspek warga Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan di sebuah lokasi di Rawang pada jam 2 petang tadi.

“Tangkapan dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Rawang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak susulan maklumat awam.

“Semua barangan milik mangsa yang diragut berjaya ditemui semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun dan bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur itu mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Permohonan reman akan dibuat esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa berusia 21 tahun sedang membuka pintu pagar rumahnya sebelum suspek datang dari arah belakang dan meragut beg tangan dibawanya.

Mangsa tidak mengalami kecederaan dan tidak mengalami kerugian, cuma kehilangan beberapa barangan peribadi seperti dokumen pengenalan, kad bank dan dokumen pejabat.

Satu rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu turut viral di media sosial, semalam.

Sebaik menerima aduan daripada mangsa, sepasukan anggota polis digerakkan untuk memburu suspek.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X