Jumaat, 3 April 2020 | 8:24pm
Mohd Khairiel (kiri) dan timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor menunjukkan air ketum dirampas selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru Air Hitam, Jempol. - Foto STR/Abnor Hamizam
Mohd Khairiel (kiri) dan timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor menunjukkan air ketum dirampas selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru Air Hitam, Jempol. - Foto STR/Abnor Hamizam

Bosan berkurung jadi alasan jual ketum

JEMPOL: Bosan dan tidak tahu apa lagi hendak dibuat di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi alasan empat lelaki menjual air ketum di sekitar Kampung Baru Air Hitam sejak dua minggu lalu.

Kegiatan mereka yang berusia 20-an hingga 40-an bagi mengurangkan ‘kebosanan’ itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa dan mereka ditahan di sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat membungkus minuman itu, jam 2 petang tadi.

Serbuan diketuai Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif selepas menerima maklumat awam.

Dalam serbuan itu polis turut memusnahkan empat batang pokok ketum di belakang rumah suspek yang dipercayai mempunyai ikatan kekeluargaan.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui menjual air ketum yang mendapat permintaan tinggi penduduk tempatan pada harga RM12 bagi botol 1.5 liter.

Sementara itu Mohd Khairiel berkata, suspek dipercayai mencampurkan air ketum yang dijual dengan ubat batuk dan minuman coca-cola.

Suspek dipercayai mengambil air ketum yang sudah dimasak di tempat lain sebelum membungkus di sebuah rumah di Kampung Baru Air Hitam.

“Kita juga percaya, hasil jualan air ketum itu digunakan suspek bagi membeli dadah berikutan polis turut menemui syabu seberat 0.5 gram dan peralatan menghisap dadah.

“Pokok ketum yang ditebang turut dimusnahkan dengan racun khas yang menghalang pokok berkenaan tumbuh kembali,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Khairiel berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut kejadian selain sudah mengenal pasti lokasi memasak air ketum di sebuah tanah rancangan FELDA.

Polis merampas 15 liter air ketum dan dua plastik daun ketum serta menahan semua suspek bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X