Sabtu, 4 April 2020 | 9:55am
Bungkusan air ketum. FOTO/Gambar hiasan
Bungkusan air ketum. FOTO/Gambar hiasan

6 lelaki dalam kandang lembu, ingkar PKP

KEPALA BATAS: Enam lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan alasan munasabah kerana berhimpun di dalam kandang lembu dekat Permatang Sintok, Penaga, di sini, lewat petang semalam.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 40 ke 50-an itu ditahan ketika polis mengadakan rondaan pemantauan pada jam 6.30 petang sebelum menemui sekumpulan lelaki yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika polis menyoal tujuan kesemua mereka berhimpun sedangkan sepatutnya berada di rumah, mereka gagal memberi sebab yang munasabah.

“Pemeriksaan polis ke atas kandang lembu tempat mereka berkumpul itu menemui sebuah tong ais yang di dalamnya mengandungi 48 bungkusan kecil air ketum dan empat botol minuman yang juga berisi air ketum.

“Kesemua mereka ditahan untuk tindakan selanjutnya dan air ketum terbabit dirampas untuk siasatan.

“Hasil semakan di dapati seorang daripada enam yang ditahan itu mempunyai rekod dadah namun ujian awal saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya negatif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Keenam-enam lelaki itu ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun1950 dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Berita Harian X