Sabtu, 4 April 2020 | 10:55am
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto NSTP
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto NSTP

Peniaga rugi RM44,500 beli topeng muka dalam talian

KUANTAN: Seorang peniaga wanita di sini, menanggung kerugian RM44,500 akibat terpedaya dengan promosi jualan murah topeng muka menerusi media sosial Facebook bulan lalu.

Mangsa berusia 30 tahun dikatakan mula mencari produk itu secara dalam talian termasuk penjual di sebuah laman Facebook selepas gagal mendapatkannya di kedai-kedai berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki dan membuat tempahan penutup hidung dan mulut daripada suspek.

"Harga ditawarkan adalah RM50 untuk 50 keping bagi topeng muka tiga lapis dewasa dan RM25 untuk 50 keping topeng muka kanak-kanak.

"Suspek juga berjanji akan menghantar topeng muka sekiranya mangsa membayar wang pendahuluan. Kemudian mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan.

"Mangsa dikatakan membuat pesanan sebanyak 48,000 keping bersamaan dengan 960 kotak dan sudah membuat pembayaran sebanyak RM44,500 ke dalam akaun bank yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga semalam mangsa tidak menerima barangan itu menyebabkannya berasa ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, modus operandi sindiket penipuan penjualan penutup hidung dan mulut ini adalah dengan mempromosikan produk itu di laman sosial dengan harga murah.

Berita Harian X