Sabtu, 4 April 2020 | 1:46pm

Lelaki bawa pelbagai senjata, ingkar PKP ditahan

KANGAR: Polis menahan seorang lelaki selepas membawa sepucuk pistol tiruan bersama lapan bilah parang dan pisau selain melanggar tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Perlis semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam oleh pasukan rondaan selepas dilihat merayau dengan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 3, Jalan Kuala Perlis - Changlun berdekatan persimpangan lampu isyarat.

Katanya, suspek yang memberi alasan tidak munasabah ketika ditahan menyebabkan pihak polis memeriksa seluruh keretanya dibahu jalan.

“Dia memberikan alasan mahu ke rumah rakannya dan itu jelas sudah mengingkari arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekali gus membuatkan pihak kami curiga dengan suspek.

“Selepas pemeriksaan dilakukan di seluruh kereta, polis menemui sepucuk pistol tiruan bersama sejumlah butir peluru, empat bilah parang panjang, dua kerambit dan dua pisau serta sebungkus air ketum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Wari berkata, dia dibawa ke balai polis dan hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah dan keganasan rumah tangga.

“Walaupun dia tidak mempunyai rekod jenayah pecah rumah, tetapi dengan jumlah senjata yang dibawanya kita percaya dia mempunyai niat tertentu membabitkan aktiviti jenayah dan keganasan.

“Malah hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati dia positif syabu dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Peraturan 11 Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020).

Sementara itu, Wari berkata sehingga semalam seramai 53 orang sudah ditahan pihaknya kerana mengingkari PKP di Kangar menjadikan jumlah tangkapan di seluruh Perlis sejak pelaksanaannya adalah seramai 94 orang.

Wari menunjukkan barangan rampasan iaitu sepucuk pistol bersama lapan bilah senjata tajam yang dibawa seorang lelaki yang ditahan selepas ingkar PKP di KM 3, Jalan Kuala Perlis - Changlun. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Wari menunjukkan barangan rampasan iaitu sepucuk pistol bersama lapan bilah senjata tajam yang dibawa seorang lelaki yang ditahan selepas ingkar PKP di KM 3, Jalan Kuala Perlis - Changlun. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X