X
Sabtu, 4 April 2020 | 2:31pm
Mangsa, Mohamad Firdaus, 15, hampir putus jari telunjuk kanan akibat tersepit pada gegancu motosikal yang sedang dibaiki. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Mangsa, Mohamad Firdaus, 15, hampir putus jari telunjuk kanan akibat tersepit pada gegancu motosikal yang sedang dibaiki. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Remaja hampir putus jari akibat tersepit gegancu motosikal

PARIT BUNTAR: Seorang remaja lelaki hampir putus jari telunjuk kanan akibat tersepit pada gegancu motosikal yang sedang dibaiki dalam dalam kejadian di Kampung Parit Haji Napis di sini.

Mohamad Isa Abd Rahim 44, berkata kejadian malang itu berlaku ketika menimpa anaknya, Mohamad Firdaus, 15, sedang membaik pulih motosikalnya yang rosak, kira-kira jam 5 petang Khamis lalu.

Katanya, ketika itu beliau sedang menebas semak samun di belakang rumahnya sebelum terdengar jeritan anaknya yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

”Sejurus terdengar jeritannya, lantas saya berlari mendapatkannya yang kelihatan memegang jarinya yang berdarah dan hampir putus.

Mohamad Isa (kanan) menunjukkan kepada Md Nayan (kiri) gengancu belakang motosikal yang hampir memutuskan jari telunjuk kanan anak keduanya. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Mohamad Isa (kanan) menunjukkan kepada Md Nayan (kiri) gengancu belakang motosikal yang hampir memutuskan jari telunjuk kanan anak keduanya. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

”Saya lantas membawanya ke Klinik Kesihatan Tanah Kebun dengan meminjam kereta jiran, namun dinasihatkan segera ke Hospital Parit Buntar kerana kecederaan dialami agak parah.

”Setibanya di Hospital Parit Buntar, anak saya diberi rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping untuk menjalani rawatan lanjut dan pembedahan,” katanya ditemui media selepas menerima kunjungan dan sumbangan kebajikan dari Pengerusi Bersatu Parit Buntar, Md Nayan Salleh, yang bersimpati dengan kejadian itu.

Mohamad Isa berkata, anaknya selamat menjalani pembedahan di hospital sama pagi semalam, dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Beliau berkata, keluarganya kini bimbang masa depan anaknya kerana doktor memaklumkan sekiranya jari yang disambung itu tidak pulih dalam masa sebulan, kemungkinan ia terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Berita Harian X