Sabtu, 4 April 2020 | 3:00pm

Polis tahan remaja rakam video hina pihak berkuasa

KANGAR: Seorang remaja lelaki ditahan di rumahnya di Kampung Teluk Batu 5, Kuala Perlis pagi semalam, selepas dia dikesan merakam dan menyebarkan video menghina pihak berkuasa yang melakukan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata remaja berusia 17 tahun itu dikesan membuat rakaman video dirinya mengeluarkan kenyataan jelik kepada anggota penguat kuasa di kawasan kampungnya.

Video itu kemudian disebar melalui kumpulan sembang WhatsApp sebelum polis menahan remaja itu jam 5 pagi semalam.

“Remaja itu dipercayai menyebarkan video berkenaan sejak jam 3 petang kelmarin, melalui kumpulan sembang bersama rakannya sebelum ia menjadi tular secara meluas di WhatsApp.

“Rakaman video itu memaparkan remaja terbabit mengeluarkan kata-kata kesat ketika anggota keselamatan sedang meronda dan melakukan pengumuman penting di kawasan rumahnya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Wari berkata, remaja terbabit yang juga pelajar ditahan semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 509/233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Berita Harian X