Sabtu, 4 April 2020 | 4:31pm
Superintendan Mohd Khairiel (kanan) mengarahkan pokok ketum di kawasan rumah penduduk di FELDA Lui Selatan dimusnahkan. - Foto STR/Abnor Hamizam
Superintendan Mohd Khairiel (kanan) mengarahkan pokok ketum di kawasan rumah penduduk di FELDA Lui Selatan dimusnahkan. - Foto STR/Abnor Hamizam

Rumah tempat masak air ketum diserbu

JEMPOL: Polis menyerbu sebuah rumah di FELDA Lui Selatan Dua yang dipercayai menjadi tempat memasak air ketum susulan pendedahan suspek yang ditahan dalam serbuan di Kampung Baru Air Hitam semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif, berkata dalam serbuan jam 3.30 petang tadi, tiga lelaki berusia lingkungan 30-an cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan.

“Pemeriksaan dapur rumah itu menemui satu periuk berisi cecair air ketum yang sedang dimasak.

“Pemeriksaan lanjut polis menemui satu tong biru mengandungi air ketum, dua botol minuman berisi air ketum, satu periuk besar digunakan merebus daun ketum di bawah sinki dapur dan satu guni plastik berisi daun ketum dalam bilik air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dua suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan direman bagi membantu siasatan. Pemeriksaan polis di sekitar rumah menemui beberapa pokok ketum sebelum diarah tebang dan kemudian diletak racun bagi mematikan tunggul pokok.

Semalam media melaporkan mengenai penahanan tiga suspek yang mendakwa menjual air ketum di kawasan Kampung Baru Air Hitam di sini bagi mengisi masa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita Harian X