Sabtu, 4 April 2020 | 4:35pm

Aksi pecut motosikal, lakukan aksi berbahaya makan diri

GURUN: Perbuatan biadap seorang remaja lelaki memecut motosikal sambil melakukan aksi bahaya ketika cuba ditahan polis di Jalan Baru Kepala Bukit Guar Chempedak, dekat sini, memakan diri sendiri.

Beliau yang turut ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaimanapun, terjatuh daripada motosikalnya dan berjaya ditahan kira-kira jam 10.40 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, remaja berusia 20 tahun yang juga pekerja buruh itu ditemui menunggang motosikal tanpa tujuan ketika pihaknya membuat tugas rondaan PKP.

“Polis cuba menghampiri remaja terbabit dan memintanya berhenti, sebaliknya dia bertindak memecut motosikal itu sambil melakukan aksi merbahaya.

“Dia berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri selepas terjatuh daripada motosikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, berlaku pergelutan antara polis dengan remaja terbabit sebelum ditahan anggotanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada tubuh badannya tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Remaja lelaki terbabit gagal memberikan penerangan munasabah melakukan pergerakan meninggalkan kediamannya.

“Dia dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X