Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:51am
Dua sepupu maut bersama dalam nahas jalan raya selepas motosikal dinaiki terbabas merempuh tiang elektrik di Kampung Jubakar Darat, Tumpat, jam 5 pagi tadi. - NSTP/Siti Rohana Idris
Dua sepupu maut bersama dalam nahas jalan raya selepas motosikal dinaiki terbabas merempuh tiang elektrik di Kampung Jubakar Darat, Tumpat, jam 5 pagi tadi. - NSTP/Siti Rohana Idris

Tragedi waktu sahur ragut nyawa dua sepupu

TUMPAT: Dua sepupu maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik pagi tadi.

Dalam kejadian di Kampung Jubakar Darat kira-kira jam 5 pagi tadi, Shahriman Yusof, 19 dan Aiman Saifuddin Zakaria, 18, yang menunggang sebuah motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa Shahriman, Yusof Awang, 46, berkata anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Jejulok kira-kira jam 12 tengah malam tadi bersama sepupunya itu untuk ke rumah rakan mereka di Chabang Empat.

"Saya sempat menegurnya yang nampak agak tergesa-gesa dan bertanya ingin ke mana sebelum dia menjawab ingin ke rumah rakan bersama sepupunya yang sudah menunggu.

"Saya cuma berpesan kepadanya agar menunggang motosikal dengan berhati-hati dan pulang awal," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tumpat, di sini hari ini.

Yusof berkata dia menerima panggilan telefon dari seorang rakan tidak lama kemudian memaklumkan kejadian yang menimpa anak kedua daripada tujuh beradik itu dan dipercayai mereka dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bersahur.

Yusof Awang menunjukkan gambar anaknya, Shahriman yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama sepupunya, Aiman Saifuddin Zakaria di Kampung Jubakar Darat, pagi tadi. - NSTP/Siti Rohana Idris
Yusof Awang menunjukkan gambar anaknya, Shahriman yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama sepupunya, Aiman Saifuddin Zakaria di Kampung Jubakar Darat, pagi tadi. - NSTP/Siti Rohana Idris

Dia yang pada awalnya menyangka anaknya itu hanya mengalami kecederaan sahaja segera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba dia dimaklumkan yang dua sepupu itu sudah meninggal dunia.

"Mereka berdua sangat rapat dan bukan hanya ke mana-mana bersama tapi bekerja juga di sebuah kedai runcit yang sama malah 'pergi' juga bersama.

"Kejadian ini sangat memilukan kami sekeluarga memandangkan esok umat Islam akan menyambut Aidilfitri namun kami reda dengan ketentuan ini," katanya sambil memberitahu jenazah dua sepupu itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geting sebaik proses bedah siasat selesai.

Sementara itu Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Pemilik kedai runcit yang Ghazali Isa, 63, berkata dua pekerjanya itu rajin dan tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang bekerja dengannya.

"Malam tadi saya sempat memberikan duit raya kepada mereka sebanyak RM100 setiap seorang selain semua pekerja yang lain.

"Pagi ini saya menerima khabar duka pula mengenai kemalangan maut yang menimpa mereka dan rasa sangat terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Berita Harian X