Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:23pm
Keadaan loji minyak yang terbakar di Port Dickson, petang semalam. -Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Keadaan loji minyak yang terbakar di Port Dickson, petang semalam. -Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Bomba buat siasatan menyeluruh loji minyak terbakar

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan membuat siasatan secara menyeluruh termasuk terhadap 10 lagi tangki minyak di Loji minyak Shell HRC di Jalan Kampung Paya, Port Dickson dekat sini, yang terbakar petang semalam.

Pengarah JPBM, Hamdan Ali, berkata siasatan terhadap tangki yang lain itu penting sebagai langkah memastikan tahap keselamatan kesemua tangki minyak di loji berkenaan dalam keadaan selamat dan mengelak kejadian seperti itu berulang.

Katanya, kebakaran tangki minyak (T1108) yang mula dikesan pada jam 4.15 petang semalam, berjaya dikawal daripada merebak ke tangki bersebelahan (T1107) dengan

membuat pemindahan minyak secara pantas.

"Kebakaran tangki T1108 milik syarikat itu membabitkan jumlah keseluruhan 53,500 meter padu minyak dan tindakan awal dalam operasi itu ialah melaksanakan kaedah cooling pada tangki bersebelahan, T1107.

"Sebahagian minyak daripada tangki T1108 itu berjaya dipindahkan ke tangki T1105.

"Seramai 124 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 dan Teluk Kemang Port Dickson dengan membabitkan tiga jentera FRT terbabit dalam operasi itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPBM Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Hamdan berkata, pihaknya menyifatkan operasi berkenaan mencabar kerana keadaan kebakaran itu yang sudah membesar, apabila anggota terpaksa naik atas tangki

bersebelahan untuk memulakan operasi berkenaan.

Beliau berkata, malahan tangki berkenaan yang besar bersaiz 61 meter lebar dan 23 meter tinggi selain dipenuhi dengan minyak adalah sesuatu yang bukan mudah untuk ditangani.

Bagaimanapun, katanya melalui tindakan pantas dan kecekapan anggota melaksanakan tugas, api berjaya dapat dikawal secara berperingkat serta dipadamkan sepenuhnya

pada jam 1.50 pagi tadi.

"Memang kejadian ini antara yang terbesar ditangani pihak bomba, namun kita bersyukur kerana kejadian ini tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya.

Hamdan berkata, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X