Sabtu, 23 Mei 2020 | 3:00pm
Keadaan dua buah lori sarat dengan muatan barang yang bertembung di Jalan Saratok-Betong pagi tadi.-Foto NSTP NSTP/Erika George
Keadaan dua buah lori sarat dengan muatan barang yang bertembung di Jalan Saratok-Betong pagi tadi.-Foto NSTP NSTP/Erika George

Dua lori sarat muatan bertembung

SARATOK: Dua pemandu lori sarat dengan muatan barang dan tiga kelindan, nyaris maut selepas lori yang dinaiki bertembung dari arah bertentangan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 13, Jalan Saratok-Betong, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat, berkata dalam insiden yang berlaku jam 9 pagi itu, pemandu lori lelaki berusia 46 tahun yang sarat dengan bahan pembinaan bersama dua lagi kelindannya, berusia 32 dan 34 tahun dikatakan, dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Betong.

"Sampai di kawasan Bukit Perabun, lori yang dipandu bertembung dengan sebuah lagi lori yang sarat dengan muatan bahan mentah yang dipandu oleh lelaki berusia 58 bersama kelindan berusia 31 tahun," ujarnya.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 9.23 pagi.

Nazry berkata, pasukan bomba mengambil masa 45 minit bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di celah-celah kenderaan.

"Pemandu lori yang sarat dengan bahan binaan dilaporkan patah kaki kiri manakala kelindannya patah kaki kanan dan mengalami kecederaan pada bahagian leher.

"Sementara itu, pemandu lori yang sarat dengan muatan bahan dan dua lagi kelindannya hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Saratok bagi rawatan lanjut.

Berita Harian X