Sabtu, 23 Mei 2020 | 3:34pm

Nak tolong, jadi bergaduh

KUALA LUMPUR: Niat baik sekumpulan lelaki untuk membantu meleraikan satu pergaduhan bertukar ganas apabila mereka bergaduh sesama sendiri dalam kejadian di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 10.50 malam.

"Maklumat yang diterima mengatakan berlaku pergaduhan membabitkan kira-kira 30 individu dan hasil siasatan awal polis mendapati insiden itu berpunca akibat salah faham antara dua kumpulan.

"Pergaduhan tercetus apabila 10 orang daripada satu keluarga pada mulanya bergaduh sesama sendiri dan kumpulan kedua cuba membantu meleraikan pergaduhan itu.

"Bagaimanapun tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan pertama kerana dianggap cuba mencampuri urusan keluarga mereka.

"Akibatnya berlaku tolak menolak dan pergaduhan di antara dua kumpulan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, empat kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta blok PPR itu turut rosak akibat dilanggar kenderaan suspek namun pihak polis belum menerima laporan daripada pemilik kenderaan yang rosak dalam kejadian itu.

"Susulan siasatan yang dijalankan, kita menahan 20 orang suspek daripada kedua-dua kumpulan terbabit, kesemuanya lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 17 hingga 33 tahun.

"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Mei depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Mazlan berkata, seorang suspek mengalami kecederaan ringan pada jari telunjuk tangan kanan, manakala suspek lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu.

"Selain itu, kita mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan perlulah mematuhi undang-undang yang ada," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum terutamanya pada keadaan negara sekarang berdepan COVID-19 selain menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian, diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Berita Harian X