Rabu, 3 Jun 2020 | 12:03am

Macau Scam: Wanita warga emas kerugian RM682,000

KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas berusia 69 tahun mengalami kerugian RM682,000 dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula pada awal Mac lalu apabila mangsa yang juga bekas kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dikatakan menerima panggilan telefon kononnya seorang polis berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan yang mendakwa ada pendaftaran talian judi online haram atas nama wanita itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata panggilan itu kemudian disambung kononnya kepada seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan yang sedang menyiasat kes mangsa.

Beliau berkata, wanita itu diminta berurusan kononnya dengan seorang pegawai Bank Negara pula yang akan menghubungi mangsa untuk siasatan lanjut.

"Mangsa kemudian menerima panggilan kononnya daripada pegawai Bank Negara yang meminta mangsa memindahkan kesemua wang milik mangsa ke dalam satu akaun untuk memudahkan siasatan.

"Mangsa diminta segera melakukan urusan pemindahan wang itu kerana jika tidak, akan ditangkap dan direman," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Seterusnya, beliau berkata, mangsa diminta sentiasa menjawab panggilan suspek setiap hari dan memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbit wanita berkenaan dan kejadian berlarutan hingga 27 Mei lalu.

"Selepas itu, mangsa berasa pelik kerana antara 28 Mei hingga semalam, dia tidak lagi menerima panggilan kononnya daripada pegawai Bank Negara itu seperti biasa.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki wang dalam akaunnya dan dimaklumkan ada berlaku pengeluaran.

"Susulan itu, mangsa mengesyaki diri sudah terperdaya dengan sindiket penipuan selama hampir tiga bulan," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis, hari ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X