Khamis, 2 Julai 2020 | 11:46pm

Kastam rampas rokok lebih RM12 juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menumpaskan cubaan penyeludupan rokok rentas sempadan bernilai RM12.04 juta membabitkan 30.1 juta batang rokok.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alfiah, berkata dalam operasi Khamis minggu lalu itu, cubaan penyeludupan berjaya dipatahkan, selepas pihaknya menyita tiga kontena bermuatan rokok terbabit.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas kontena itu menjumpai rokok jenama John D-Blend, John JGI dan Boss Blend disyaki barang larangan atau barang belum lulus Kastam dengan duti dan cukai sebanyak RM21.07 juta.

"Analisis ke atas Borang Kastam 1 (Import) menunjukkan dagangan di dalam tiga kontena itu diikrar sebagai 'Hubble Plate dan Mechanical Stent' dan ia berbeza dengan isi kandungan fizikal dagangan yang ditemui.

"Rokok ini dipercayai dari Asia Timur, iaitu China untuk pasaran tempatan dibawa rentas sempadan masuk melalui jalan laut," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Johari berkata, dengan penahanan kontena itu, dua lelaki berumur lingkungan 27 hingga 36 tahun ditahan, selain satu ejen Kastam disiasat kerana disyaki menguruskan ikrar dagangan dalam kontena itu.

"Kastam juga mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit dan siasatan giat dijalankan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati modus operandi sindiket ialah membuat ikrar Borang Kastam 1 (Import) yang tidak benar dari segi butiran dagangan.

"Borang Kastam 1 ini juga dihantar untuk pelepasan Kastam sebelum kontena yang membawa dagangan tiba di pelabuhan bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak Kastam.

"Selain itu, borang Kastam yang diikrar juga menguna-pakai butiran lesen Gudang Pengilangan Berlesen serta butiran dagangan yang bukan kritikal bagi mengelirukan pegawai pentaksir untuk tujuan pelepasan dagangan," katanya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976.

Johari (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas sindiket penyeludupan rentas sempadan. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Johari (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas sindiket penyeludupan rentas sempadan. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X