Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:51pm
 Seorang remaja lelaki ditemui lemas di Tasik Paya Biru, Blok 17, Felda Lok Heng selatan, Bandar Penawar, tengah hari tadi. Foto ihsan PDRM
Seorang remaja lelaki ditemui lemas di Tasik Paya Biru, Blok 17, Felda Lok Heng selatan, Bandar Penawar, tengah hari tadi. Foto ihsan PDRM

Remaja lelaki lemas di Tasik Paya Biru

KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan Tasik Paya Biru, Blok 17, Felda Lok Heng Selatan, Bandar Penawar yang ditutup kepada orang awam sejak tahun 2018, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata mayat mangsa Muhammad Akmal Hakim Abdul Karim, 19, ditemui di dasar tasik berkenaan dalam operasi dan menyelamat membabitkan anggota bomba.

Katanya, Pusat Kawalan Polis Daerah Kota Tinggi menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum menggerakkan anggotanya dari Balai Polis Bandar Penawar ke tempat kejadian bersama pasukan bomba untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa pergi ke lokasi berkenaan bersama lima rakannya iaitu tiga lelaki dan dua perempuan dalam lingkungan usia yang sama.

"Mangsa ditemui kira-kira jam 12.53 tengah hari di dasar tasik dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Lok Heng.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh lemas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Tinggi mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi atau mandi di tempat berkenaan lagi kerana kawasan berkenaan sudah diarahkan tutup pada 2018, setelah kejadian lemas yang berlaku di kawasan itu sebelum ini," katanya.

Berita Harian X