Selasa, 21 Februari 2017 | 1:06pm

Dr Mohammad Shatar dilantik Naib Canselor UPSI

 

 Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto Saifullizan Tamadi.
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran. - Foto Saifullizan Tamadi.

KUALA LUMPUR: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baharu untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa Jumaat ini.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang akan bersara wajib pada Khamis ini selepas berkhidmat selama lebih lima tahun bermula 1 September 2011 hingga 23 Februari 2017.

Mohammad Shatar, 50, berkelulusan Ijazah Sarjana dan Sarjana dari Iowa State University, Ames, Iowa, Amerika Syarikat sebelum menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Missouri, Columbia.

Selain berpengalaman luas dalam bidang akademik, beliau adalah seorang pakar sosial serta penceramah motivasi, terutama berkaitan pembelajaran dan kecemerlangan, kepimpinan, penduduk luar bandar, pembangunan kemahiran insaniah, permasalahan sosial, modal insan, keibubapaan dan remaja.

Anak kelahiran Perak itu yang turut memiliki kepakaran khusus dalam bidang kepimpinan dan pembangunan komuniti, sehingga kini menyampaikan lebih daripada 700 ceramah motivasi serta menerbitkan lebih 40 buah buku.

Ketika dihubungi BH, Mohammad Shatar berkata, pelantikan itu cukup istimewa kerana memberi peluang kepada beliau untuk menjadikan UPSI sebagai universiti pilihan kepada individu yang mahu mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.

"Saya berazam menyusun beberapa agenda bersama pengurusan UPSI nanti untuk menjadikan satu-satunya universiti pendidikan di Malaysia ini pilihan pelajar di dalam dan luar negara," katanya.

 

Berita Harian X