Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:13pm
PENSYARAH dan Penyelidik Serangga Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim.
PENSYARAH dan Penyelidik Serangga Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim.

Tips elak serangan tebuan

KUALA TERENGGANU: Jangan mengibas baju atau kain untuk menghalang serangan tebuan kerana pergerakan mendadak lebih menarik perhatian serangga berkenaan untuk menyerang.

Itu antara tips dikongsikan Pensyarah dan Penyelidik Serangga Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Nur Aida Hashim ketika berdepan serangan tebuan.

Ia susulan kejadian tiga kanak-kanak maut disengat tebuan di Terengganu dalam tempoh dua minggu dengan kes terbaru di Besut kelmarin yang mengakibatkan kematian kanak-kanak berusia dua tahun, Puteri Nur Aisyah Azahar.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Lay Out Tok Has, Besut.

Pada 4 Ogos lalu, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, turut maut disengat lebih 60 tebuan juga di Besut, disusuli kematian Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, akibat kejadian sama di Dungun empat hari kemudian.

Dr Nur Aida berkata, ramai tidak tahu tebuan mati akan mengeluarkan bau yang boleh menarik lebih banyak serangga itu untuk menyerang mangsa.

"Tebuan boleh membahayakan nyawa kerana dengan hanya satu atau dua sengatan, boleh mengakibatkan kematian sekiranya mangsa tidak dirawat secepat mungkin," katanya.

Berikut tips untuk mengelak menjadi mangsa tebuan;

  • Jangan mengibas baju atau kain untuk menghalang serangan tebuan kerana pergerakan mendadak lebih menarik perhatian serangga berkenaan untuk menyerang.
  • Jangan sesekali mengganggu habitatnya kerana serangga itu biasanya ia akan menyerang apabila habitat diganggu.
  • Apabila diserang, lari secepat mungkin ke tempat perlindungan seperti rumah, bangunan dan kenderaan dengan menutup kepala dengan baju.
  • Mangsa dinasihatkan tidak terjun ke dalam air atau sungai kerana tebuan akan menunggu di atas permukaan air sehingga mangsa timbul semula.
  • Jika disengat, segera dapatkan rawatan doktor dan mengeluarkan sengat dari luka secepat mungkin. Sengatan akan terus mengeluarkan bisa selagi berada dalam kulit.

Berita Harian X