Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:57pm

Jangan jadikan isu tugas guru disiplinkan pelajar

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta masyarakat tidak menjadikan tugas guru menguruskan kes salah laku pelajar di sekolah sebagai isu.

 

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata masyarakat seharusnya faham dengan tugas guru sebagai pendidik, bukan merumitkan keadaan dan menjadikan pengurusan disiplin pelajar isu.

"Jangan jadikan tindakan guru dan hukuman disiplin sebagai isu hingga guru diheret ke mahkamah seperti guru pula yang bersalah. Perkara itu memberi tekanan kepada guru hingga takut menjalankan tugas,

 

"Profesion perguruan seharusnya diberi kuasa atau ruang yang wajar untuk menguruskan disiplin pelajar di sekolah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan NUTP itu susulan tindakan tidak wajar sesetengah ibu bapa dan pelajar mempersoalkan tugas guru, malah sengaja disebarkan media sosial.

  

Katanya, tindakan disiplin seperti mendenda pelajar bertujuan mendisiplinkan dan membentuk murid menjadi insan berintegriti tinggi.

 

Beliau berkata, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003, iaitu Kuasa Guru Merotan Murid sudah lama disediakan Kementerian Pelajaran Malaysia,

 

"Malah ia berasaskan peruntukan sedia ada dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957," katanya.

Berita Harian X