Khamis, 8 March 2018 | 11:13pm
Pendaki berkumpul di Laban Rata ketika berlaku gempa bumi sederhana 5.2 magnitud telah berlaku di Ranau. - Foto ihsan Pembaca

130 pendaki dibawa turun malam ini

KOTA KINABALU: Seramai 130 pendaki Gunung Kinabalu yang kini berada di Laban Rata akan dibawa turun malam ini, susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat di Ranau, jam 9.06 malam tadi.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengarahkan pasukannya untuk melaksanakan kerja menyelamat dan membawa turun semua pendaki terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan sedang dijalankan di Gunung Kinabalu bagi mengetahui kesan gegaran akibat gempa bumi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, pula berkata aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu digantung sementara susulan gempa bumi sederhana di Ranau.

Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan, ketika dihubungi berkata maklumat awal dari petugas di Gunung Kinabalu menyatakan keadaan semasa dilaporkan selamat.

Pendaki berkumpul di Laban Rata ketika berlaku gempa bumi sederhana 5.2 magnitud telah berlaku di Ranau. - Foto ihsan Pembaca

"Semua pendaki telah diminta berkumpul di tempat selamat," katanya.

Malim Gunung, Richard Soibi, berkata pihaknya bersedia untuk membantu operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di Gunung Kinabalu akibat gempa bumi berkenaan.

"Semua bimbang apabila berlaku gegaran yang agak kuat tadi. Namun setakat ini belum ada maklumat berkaitan kemalangan membabitkan pendaki dan malim gunung.

"Kami semua menunggu berita dari gunung mengenai keadaan di sana," katanya.

Berdasarkan maklumat kakitangan Taman-Taman Sabah, pengosongan keemasan dijalankan di Laban Rata, berhampiran puncak Gunung Kinabalu sebagai langkah berjaga-jaga sejurus gempa bumi itu.

"Pendaki dan kakitangan Taman-Taman Sabah serta Sutera Sanctuary diminta supaya berkumpul berhampiran tapak pendaratan helikopter selepas gegaran," katanya.

Difahamkan, malim gunung bersama anggota Pasukan Bantuan Mencari Menyelamat di Gunung (MOSAR) sudah bersedia membawa semua pendaki turun ke kaki gunung secepat mungkin malam ini.

Berita Harian X