Jumaat, 9 March 2018 | 5:07pm
ANTARA pendaki yang tiba di Taman Sabah, Kundasang terpaksa membatalkan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu kerana terdapat runtuhan akibat gempa. - Foto Khairull Azry Bidin
PENGARAH Taman Sabah, Dr Jamili Nais meninjau kawasan runtuhan akibat gempa yang dikesan di laluan pendakian berikutan berlakunya gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2. - Foto Khairull Azry Bidin
PENDAKI bersedia meninggalkan lokasi Taman Kinabalu untuk pulang dengan penutupan sementara pendakian akibat berlakunya gempa bumi. - Foto BERNAMA
BATU-BATU bertaburan di atas jalan menuju ke Timpohon Gate kesan dari berlakunya gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2. - Foto BERNAMA
MOHD Syaffwan Afifi Bin Jamal, Ahli Balai Bomba Tuaran, KB19 bersama pasukan Bomba dan MOSAR membantu mengangkat seorang pendaki, Sarina morshidi Keli, 44, yang keletihan ketika menuruni gunung Kinabalu dari KM2 ke Timpohon Gate. - Foto Lano Lan

Kerajaan Sabah pantau rapi perkembangan gempa

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus memantau rapi setiap perkembangan yang berlaku susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 berpusat di Ranau, semalam.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata langkah untuk menghentikan sementara aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu adalah keputusan terbaik, sehingga keadaan benar-benar pulih.

"Kita bersyukur kerana kesemua pendaki dan petugas dapat turun dengan selamat dan tidak ada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

"Jabatan dan agensi berkaitan juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda, khususnya di kawasan yang berisiko.

Orang ramai tidak perlu panik dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan malam tadi berkata, gempa bumi sederhana berukuran 5.2 dengan kedalaman 5 kilometer berlaku di Ranau yang berpusat di lokasi 6.1 Utara 116.6 Timur, kira-kira 16 kilometer barat laut Ranau pada jam 9.06 malam.

Semua 130 pendaki di Gunung Kinabalu selamat dibawa turun dari Laban Rata ke Pondok Timpohon di Taman Kinabalu, Kundasang oleh pasukan penyelamat secara berperingkat awal pagi tadi.

Susulan gempa bumi itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun mengarahkan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu digantung sementara demi keselamatan pendaki serta semua pihak yang berkaitan.

Berita Harian X