Sabtu, 6 Oktober 2018 | 6:20pm
AHMAD Faizal Azumu (dua kanan) bersama Timbalan Presiden NUTP, Chan Thye Choon (kiri) menyempurnakan pelancaran tabung bantuan gempa bumi dan tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia oleh NUTP pada majlis Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di Hotel Excelsior Ipoh. - Foto NSTP
AHMAD Faizal Azumu (dua kanan) bersama Timbalan Presiden NUTP, Chan Thye Choon (kiri) menyempurnakan pelancaran tabung bantuan gempa bumi dan tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia oleh NUTP pada majlis Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di Hotel Excelsior Ipoh. - Foto NSTP

NUTP lancar tabung bantu mangsa bencana di Sulawesi

IPOH: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melancarkan tabung bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia, terutama golongan guru serta pelajar.

Tabung itu dilancarkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, bersama Timbalan Presiden NUTP, Chan Thye Choon, pada majlis Sambutan Hari Guru Sedunia, di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, NUTP turut menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lombong di Puchong, Selangor, yang diserahkan kepada Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia, Mohd Sayuthi Harun.

Ahmad Faizal pada sidang media selepas majlis berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan terhadap inisiatif sedemikian.

“Tahniah kepada NUTP berperanan sebagai guru atau pendidik dalam erti kata sebenar yang memberikan contoh warga Malaysia prihatin,” katanya.

Katanya, setakat ini, kerajaan negeri belum melancarkan tabung bantuan untuk mangsa bencana di negara jiran itu, namun beliau difahamkan ada pihak membuat kutipan, termasuk di masjid dan surau yang melaksanakan solat Jumaat kelmarin.

“Ia adalah satu tragedi yang besar, justeru kita memang menggalakkan orang ramai membantu tetapi kerajaan negeri belum mengusulkan mengenai tabung bantuan.

“Kita juga berpendirian tidak perlu ada banyak tabung kerana kita boleh menyalurkan sumbangan melalui tabung sedia ada.

“Ini bagi memudahkan penyelarasan bantuan yang ingin diberikan kerana sumbangan bukan hanya setakat duit tetapi juga barangan, peralatan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata sebagai permulaan, kesatuan berkenaan menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 ke dalam tabung bantuan terbabit.

“Kutipan tabung ini akan membabitkan semua guru yang menjadi ahli NUTP di seluruh negara.

“Sumbangan diperoleh nanti akan diserahkan kepada rakan kita di Indonesia, iaitu Persatuan Guru-Guru Republik Indonesia (PGRI) untuk disalurkan khas kepada guru dan murid yang mana ia lebih tertumpu pada pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, NUTP dijangka menyerahkan sumbangan awal tabung itu kepada wakil PGRI pada 15 Oktober ini, namun kutipan akan dibuat hingga 24 November depan sebelum sesi persekolahan tahun ini tamat.

Berita Harian X