Rabu, 24 Oktober 2018 | 4:06pm
PEGAWAI Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan Media Prima kepada mangsa banjir di Perkarangan Pejabat Daerah Baling. - Foto Safuri Kamarudin
PEGAWAI Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan Media Prima kepada mangsa banjir di Perkarangan Pejabat Daerah Baling. - Foto Safuri Kamarudin

Mangsa banjir terima bantuan Tabung Bencana NSTP-Media Prima

BALING: Tabung Bencana NSTP-Media Prima hari ini, mengagihkan bantuan bernilai RM30,000 dalam bentuk barangan makanan dan alat cucian kepada 150 keluarga mangsa banjir di sekitar daerah ini.

Pengurus Sumbangan dan Sosial Korporat Media Prima, Nazim Ismail, berkata Media Prima-NSTP memperuntukkan sebanyak RM200 untuk setiap keluarga bagi meringankan bebanan mangsa banjir.

Beliau berkata, sumbangan itu hasil bantuan terkumpul daripada orang ramai .

“Setiap keluarga menerima barangan makanan yang dibeli dari pasar raya besar Tesco.

“Ini antara usaha murni dilakukan Media Prima-NSTP untuk membantu mangsa dalam kerja-kerja kebajikan,” katanya selepas mengagihkan barangan makanan di Pejabat Daerah Baling, di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman dengan disaksikan Nazim, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Kedah, Ahmad Rashid dan 10 Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP.

Md Shuhaimie berkata, 150 keluarga mangsa banjir yang berpindah ke 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana terjejas dengan bencana itu bertuah kerana menerima sumbangan daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

“Semua keluarga juga menerima RM100 yang disumbangkan kerajaan negeri melalui JKM.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Media Prima-NSTP yang turut datang ke sini (Baling) dan membantu mengurangkan beban mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Mohd Rokhid Kaafar Sidek, 58, dari Kampung Lalang, Mukim Siong bersyukur dan gembira apabila menerima sumbangan barangan makanan dan alat cucian daripada tabung berkenaan.

“Sumbangan barangan dan wang tunai dapat menampung perbelanjaan keluarga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Saya juga tidak dapat keluar menoreh kerana musim hujan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima melalui akaun Maybank, 5141-0532-0757.

Berita Harian X