Sabtu, 10 November 2018 | 4:28pm

Nurul Syuhada boleh duduki SPM - Kementerian Pendidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menafikan laporan berhubung seorang pelajar cemerlang tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelajar yang disebutkan dalam laporan itu sudah didaftarkan untuk mengambil peperiksaan SPM 2018, malah slip menduduki peperiksaan juga sudah dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan sebagai pengesahan kelayakan menduduki peperiksaan.

“Justeru, tiada isu pelajar berketurunan Kemboja terbabit tidak boleh mengambil peperiksaan SPM tahun ini. Laporan itu tidak tepat sama sekali.” katanya.

Kelmarin media melaporkan seorang pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, Perak, Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, runsing apabila tidak dibenarkan menduduki peperiksaan SPM minggu hadapan kerana tiada kad pengenalan diri.

Kenyataan itu turut menjelaskan syarat kelayakan pendaftaran peperiksaan SPM yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan juga membenarkan, mana-mana pelajar Tingkatan Lima yang bersekolah dan mencapai umur 16 tahun pada 1 Januari pada tahun peperiksaan didaftarkan dan seterusnya menduduki SPM walaupun tidak mempunyai kad pengenalan.

“Sistem akan menjana satu nombor pengenalan diri bagi calon yang tidak mempunyai kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran.

“Semasa peperiksaan berlangsung, calon boleh mengemukakan mana-mana dokumen pengenalan diri bergambar kepada Ketua Pengawas Peperiksaan seperti pasport, lesen memandu atau Borang LP/Am 118-Borang Pengenalan Diri Calon yang disediakan pihak sekolah,” katanya.

Sehubungan itu katanya isu pelajar yang terbabit tidak boleh mengambil peperiksaan tidak timbul sama sekali.

“Pihak sekolah sudah mengadakan pertemuan dengan penjaga dan pelajar terbabit serta sudah menjelaskan bahawa pelajar terbabit boleh menduduki peperiksaan yang akan bermula pada 13 November ini.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga sudah memohon pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menghebahkan kepada ibu bapa dan penjaga supaya berjumpa dengan pengurusan sekolah sekiranya berhadapan dengan isu menduduki peperiksaan,” katanya.

Berita Harian X