Jumaat, 8 March 2019 | 11:56am
KETUA Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Srikandi PKR pentas memperkasa wanita

KUALA LUMPUR: PKR harus menjadi parti politik yang mengungguli pembabitan dan kepemimpinan wanita muda supaya negara dapat melahirkan pemimpin disegani pada masa akan datang.

Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii, berkata bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, tumpuan parti jelas lagi utuh bagi memastikan lebih ramai wanita muda diberikan peluang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Peranan wanita muda harus dilihat dalam aspek dan ruang yang setaraf tanpa mengira jantina.

“Prinsip dan kepercayaan ini seiring dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Fikir Kesaksamaan, Bina dengan Kebijaksanaan, Berinovasi untuk Perubahan’ (Think Equal, Build Smart, Innovate for Change).

“Srikandi sebagai pentas bagi wanita muda turut meraikan sambutan bersejarah ini dalam semangat merayakan kepelbagaian dan potensi wanita di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan terbabit tidak hanya menjurus kepada meraikan wanita, tetapi menjadi agenda penting dalam membawa arus pembangunan dalam kehidupan wanita merangkumi aspek politik, kesihatan, sosial, ekonomi dan pendidikan.

“Saya percaya, wanita muda kini lebih cakna dan berfikiran matang mengenai isu semasa, malah mampu menyumbang kepada inovasi pembangunan negara,” katanya.

Berita Harian X