Rabu, 22 Mei 2019 | 10:02am
DR Musa Ahmad membantu Ketua Unit Modal Insan dan Latihan Persatuan Insan Istimewa Jempol, Redha Md Derham yang cacat penglihatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM pada majlis perlancaran aplikasi i-sign Ibadah di di Universii Sains Islam Malaysia (USIM). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Aplikasi bantu golongan OKU pendengaran beribadah

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan i-Sign Ibadah, iaitu aplikasi bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran untuk beribadah melalui bahasa isyarat.

Ketua Projek i-Sign Ibadah, Dr Asiah Faseah Muhamad, berkata aplikasi itu yang mula dibangunkan sejak 2017 membabitkan kerjasama Geran Sepadan oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPOS) USIM dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Katanya, aplikasi itu diperkenalkan bagi proses pembelajaran untuk memudahkan golongan OKU pendengaran memahami istilah ibadah menerusi bahasa isyarat dengan menonton rakaman video pada peranti pintar.

“Ia mengandungi 287 istilah serta penjelasannya berbentuk rakaman video terdiri daripada tujuh bahagian utama merangkumi hukum Syarak, Syahadah, Taharah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji.


DR Asiah Faseah Muhamad

“Golongan OKU pendengaran mempunyai tatabahasa yang terhad, malah ada beberapa isyarat didapati mengelirukan kerana mempunyai maksud lain di beberapa negara.

“Justeru, projek ini dibangunkan menerusi beberapa siri bengkel yang mendapat kerjasama daripada pihak pakar, jurubahasa isyarat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghasilkan istilah baharu Bahasa Isyarat Malaysia bagi memudahkan golongan ini lebih memahami istilah isyarat berkaitan ibadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran i-Sign Ibadah di USIM, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Yasmin Hussain.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store bermula Jun ini.

USIM turut menjalin usaha sama dengan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nilai dan Persatuan Insan Istimewa Jempol bagi memartabatkan pendidikan Islam dalam kalangan OKU.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof Datuk Dr Roshada Hashim.

Dr Musa berkata, kerjasama itu adalah inisiatif daripada Pusat Ibnu Ummi Maktum USIM yang bertujuan untuk mengembeling sumbangan pelbagai pihak dalam merealisasikan konsep hidup beragama dalam kalangan OKU.

“Selain itu, perkongsian antara kedua-dua pihak khususnya dalam memberi latihan dan pengalaman kepada mahasiswa USIM dilihat mampu merealisasikan hasrat USIM sebagai kampus barakah dan menjadi universiti untuk komuniti,” katanya.

Berita Harian X