Ahad, 23 Jun 2019 | 9:14pm
Dr Mahathir pada sidang media selepas mengakhiri lawatan empat hari beliau, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34, di Bangkok, hari ini. - Foto BERNAMA

Dahulu gelar UMNO kafir - Dr Mahathir

BANGKOK: PAS perlu mengesahkan UMNO sebagai parti Islam terlebih dahulu sebelum mewujudkan sebarang kerjasama politik dengan parti itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, ia kerana PAS sebelum ini menggelarkan UMNO sebagai parti kafir.

"Pada pandangan saya, sebelum PAS umum kerjasama dengan UMNO, mereka patut umum UMNO dianggotai orang Muslim tetapi sehingga hari ini, mereka tidak pernah menyebutnya.

"Dahulu, PAS gelar UMNO sebagai kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam tetapi sekarang mereka tidak lagi gelar UMNO kafir," katanya kepada media Malaysia selepas mengakhiri lawatan empat harinya termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Muktamar PAS ke-65 yang meluluskan usul kerjasama politik dengan UMNO.

Usul itu dibawa Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud yang menerima sokongan penuh perwakilan.

Berita Harian X