Isnin, 8 Julai 2019 | 2:58pm
Dr Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan surat tawaran pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang akan melanjutkan ke universiti-universiti terbaik dunia. - Foto BERNAMA
Dr Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan surat tawaran pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang akan melanjutkan ke universiti-universiti terbaik dunia. - Foto BERNAMA

31 pelajar universiti terbaik dunia terima surat tawaran pinjaman MARA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menyerahkan surat tawaran pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada 31 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik dunia (WTU).

Mereka akan melanjutkan pelajaran ke institusi seperti University of Oxford, Imperial College London, University College London dan London School of Economics and Political Science di United Kingdom; University of Michigan di Amerika Syarikat; Technical Ludwig-Maximilians Universitat Munchen di Jerman dan Nanyang Technological University di Singapura.

Amir Khaled Farid, 20, begitu teruja menerima surat tawaran itu daripada Dr Mahathir sendiri, yang juga antara idolanya dalam bidang politik selain bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Beliau yang akan melanjutkan pelajaran dalam kursus Falsafah Politik dan Ekonomi di London School of Economics and Political Science itu berhasrat menjadi ahli politik yang mampu mengubah landskap politik negara supaya lebih matang dan lebih tumpu kepada isu berbanding sentimen emosi.

“Ini adalah satu motivasi dan saya akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian untuk membantu membangunkan negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima surat tawaran itu.

Itrisyia Dayini Kamarul Baharin, 19, yang akan melanjutkan pelajaran di University of Oxford dalam kursus Pengajian Arab dan Tamadun Islam, berkata beliau memilih bidang itu kerana minatnya terhadap sejarah dan politik Timur Tengah moden.

“Minat saya terhadap Timur Tengah bermula apabila saya mengambil Diploma Sejarah, banyak yang saya pelajari mengenai sejarah Timur Tengah dan saya mahu meneruskan pengajian mengenainya,” katanya.

Bagi Muhammad Jibril Saifullah Kamarul Hisham, 20, yang akan ke University College London dalam bidang Bio Chemistry, tawaran itu sangat bermakna baginya memandangkan peluang mendapat pinjaman dalam bidang terbabit sangat sukar berbanding kursus lain.

Jika diberi peluang, beliau berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di Amerika Syarikat dan membawa pulang ilmu yang diperolehnya ke tanah air.

“Dengan isu perubahan iklim sekarang, kita kena tumpu lebih kepada sains,” katanya, sambil menambah beliau berhasrat untuk membuka sebuah syarikat bioteknologi di Malaysia.

Menurut MARA, dalam kenyataan media sempena majlis hari ini, program WTU itu adalah pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terbaik dunia.

Program pinjaman pelajaran MARA wujud sejak 1966 dan sudah menaja 523,940 orang pelajar, katanya.

MARA memaklumkan, tahun ini kerajaan memperuntukkan RM2 bilion di bawah program itu dan setakat Mei, 37,909 pelajar sudah mendapat manfaat mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara.

Program WTU adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada program sedia ada dan pada tahun ini, MARA memperluaskan pilihan universiti kepada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Jepun, China, Korea, Russia dan Switzerland.

Pemilihan universiti-universiti berkenaan dirujuk kepada kedudukan universiti terbaik yang dikeluarkan oleh organisasi pengiktirafan peringkat antarabangsa setiap tahun, kata MARA. - BERNAMA

Berita Harian X