Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:58pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Eizairi Shamsudin

Laksana mekanisme subsidi RON95 selepas sampai maklumat

JITRA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan proses penyampaian maklumat kepada pihak berkaitan sebelum melaksanakan mekanisme subsidi bersasar petrol RON95.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementeriannya bersama Kementerian Kewangan akan mendapatkan pandangan dan penyampaian taklimat secara menyeluruh berkaitan mekanisme itu kepada pihak berkenaan.

“Antara yang perlu mendapat maklumat ini adalah persatuan pengguna, pemilik stesen minyak, syarikat minyak dan pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Jika ada sebarang kelemahan, mereka boleh memaklumkannya kepada kementerian untuk diperbaiki dan ditambah baik.

“Saya juga sudah bertemu pengarang kanan media bagi meminta mereka membantu menerang dan menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat mengenai subsidi ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan penjualan bahan api Infiniti Euro-5 Diesel di BH Petrol, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pelaksanaan subsisi bersasar sepatutnya dimulakan suku kedua tahun ini, namun dilewatkan bagi memastikan pelaksanaan pemberian subsidi kelak menyeluruh dan tidak mengalami masalah.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, beliau menyambut baik pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia adalah proses biasa dalam politik dan Najib masih diberi kepercayaan memegang jawatan itu selepas kerajaan BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, di bawah pimpinannya.

“Saya tak melihat itu sebagai ancaman, tapi saya rasa politik negara akan jadi lebih meriah kerana Najib telah jumpa peranan yang sesuai untuk beliau pegang setelah melepaskan jawatan Pengerusi BN.

“Beliau ambil masa setahun untuk kembali memposisikan diri, jadi kita akan bersaing secara sihat dalam suasana politik berhemah,” katanya yang diminta mengulas keputusan Dewan Tertinggi BN, melantik bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Selasa lalu.

Berita Harian X