Isnin, 15 Julai 2019 | 12:00pm
Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Wang kutipan hasil GST tidak hilang - PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion daripada hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata bagaimanapun dana itu tidak hilang, tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Beliau berkata berdasarkan keterangan 10 saksi prosiding berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST mendapati hasil cukai itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Katanya, Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Noraini berkata, kerajaan sebelum ini didapati terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

“Penangguhan pemindahan dana daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara.

“Ia bagi memastikan aliran tunai negara tidak berada dalam keadaan defisit pengurusan yang mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.

“Kerajaan telah mengumumkan akan membuat pembayaran balik cukai GST tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

PAC hari ini membentangkan Laporan PAC Parlimen berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan.

Prosiding tuntutan tunggakan bayaran balik GST itu dimulakan pada 12 September tahun lalu.

PAC memanggil semua pihak berkepentingan dalam isu itu termasuk Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Akauntan Negara.

PAC turut mendapat taklimat Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST, selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.

Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat dilaporkan menyatakan tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Noraini berkata, Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Katanya, PAC mendapati kerajaan terdahulu memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu sebelum dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan.

“Ia mengikut kaedah diputuskan Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST dan ini tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014,” katanya.

Noraini berkata, dasar memindahkan 35 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST bagi setiap tahun dari Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST apabila diperlukan adalah tidak mencukupi untuk menampung permohonan pembayaran balik GST.

“Berdasarkan keterangan ketika prosiding, PAC mendapati kadar penetapan dasar wajar adalah sekurang-kurangnya 42 peratus,” katanya.

Justeru, katanya, PAC mengesyorkan kerajaan memastikan pematuhan penuh undang-undang dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

2286 dibaca
Berita Harian X