Sabtu, 7 September 2019 | 12:46pm

OKU tekad penuhi impian takluk Annapurna Base Camp

SEPANG: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu bukan penghalang buat Muhammad Hawari Hashim, 29, menyertai misi mendaki Annapurna Base Camp dan Poon Hill di Nepal, pada ketinggian 4,310 meter dari aras laut.

Misi anjuran Telekom Malaysia (TM) dan Peak Journey Adventure Consultant sempena Hari Malaysia yang dijangka berakhir pada 19 September, diketuai pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak, 30.

Muhammad Hawari mengakui berbangga kerana OKU seperti dirinya terpilih dan diberi peluang menyertai ekspedisi yang menjadi impiannya selama ini.

Sebelum ini, beliau menyertai beberapa aktiviti pendakian selama empat bulan sebagai persediaan menyertai misi kali ini, antaranya di Cameron Ultra Marathon, Cameron Highlands, Pahang; Gunung Pulut dan Bukit Larut, Perak serta Gunung Rinjani, Indonesia.

Kakitangan pentadbiran di Muzium Pulau Pinang itu mengakui bersedia dengan tahap kecergasan untuk menggalas impiannya itu dan cuma faktor cuaca sejuk dijangka menjadi halangan utama ketika melakukan pendakian.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi ruang, sokongan dan bantuan saya menyertai ekspedisi ini.

“Saya akan cuba buktikan golongan OKU mampu melalui cabaran sukar ini,” katanya kepada media menerusi bahasa isyarat dan diterjemahkan oleh rakannya sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Muhammad Hawari yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang cahaya mata, aktif bersukan dan pernah memegang jawatan Setiausaha Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang (2012-2014) dan Ketua Unit Bola Sepak Orang Pekak Pulau Pinang (2014-2017).

Selain menjadi Timbalan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang dari 2017 hingga 2019, beliau juga pernah menjadi ahli jawatan kuasa Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang 2014- 2017.

Kumpulan ekspedisi itu disertai 21 kakitangan TM berumur 20 hingga 60 tahun, antara lain bertujuan mewujudkan sikap kerjasama dalam kalangan pekerja.

Sementara itu, Azim Afif berkata, setakat ini semua pendaki sudah melakukan persiapan fizikal dan mental, termasuk mendaki Menara TM setinggi 59 tingkat, selain mendaki gunung di dalam dan luar negara sejak empat bulan lalu.

Beliau juga yakin Muhammad Hawari bersedia menggalas impiannya ke Annapurna Base Camp dan Poon Hill atas usaha kerasnya selama ini.

“Penyertaan Muhammad Hawari juga sebagai persediaan bagi dirinya sebelum menyertai Misi Wawasan Everest 2020 pada tahun depan,” katanya.

Ketua Ekspedisi Telekom Annapurna BC & Poon Hill Sempena Hari Malaysia, Azim Afif Ishak bersama peserta OKU pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim (gambar kecil) dan peserta Ekspedisi Telekom Annapurna BC & Poon Hill Sempena Hari Malaysia sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X