Sabtu, 14 September 2019 | 9:02pm
Muhammad Hawari berjaya menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal jam 11.30 pagi tadi waktu Malaysia. - Ihsan Peak Journey Adventure

OKU pekak, bisu tawan ABC

PUTRAJAYA: Seorang pendaki orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, berjaya menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal jam 11.30 pagi tadi waktu Malaysia.

Kejayaan itu menjadikan Muhammad Hawari Hashim, 29, sebagai OKU pertama negara bagi kategori pekak dan bisu menakluk puncak setinggi 4,310 meter dari aras laut itu.

Beliau menyertai Misi anjuran Telekom Malaysia (TM) dan Peak Journey Adventure Consultant sempena Hari Malaysia bermula 8 September lalu yang dijangka berakhir pada 19 September ini dan diketuai pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak, 30.

Misi itu membabitkan pendakian Annapurna Base Camp dan Poon Hill (3,210 meter dari aras laut) di Nepal, pada ketinggian keseluruhan membabitkan 4,310 meter dari aras laut.

Kumpulan ekspedisi itu disertai 21 kakitangan TM berusia 20 hingga 60 tahun, antara lain bertujuan mewujudkan sikap kerjasama dalam kalangan pekerja.

Muhammad Hawari berkata, pelbagai cabaran dihadapinya untuk bertahan sepanjang pendakian kira-kira lima hingga enam jam sehari dan terpaksa menempuh keadaan cuaca tidak menentu seperti panas dan sejuk untuk tiba ke ABC.

Katanya, keadaan trek yang sangat mencabar menyebabkan kekejangan otot, namun beliau menguatkan semangat untuk menamatkan pendakian.

“Minat mendaki bukanlah sekadar inginkan kepuasan semata-mata tetapi demi tekad mahu membuktikan golongan seperti saya mampu berdepan halangan seperti cuaca, suhu dan keadaan sekeliling,” katanya ketika dihubungi melalui bantuan perantara menerusi telefon satelit, hari ini.


Pelbagai cabaran sepanjang pendakian kira-kira lima hingga enam jam sehari dan terpaksa menempuh keadaan cuaca tidak menentu seperti panas dan sejuk untuk tiba ke ABC. - Ihsan Peak Journey Adventure

Sebelum ini, kakitangan pentadbiran di Muzium Pulau Pinang itu menyertai beberapa aktiviti pendakian selama empat bulan sebagai persediaan menyertai misi kali ini, antaranya termasuk Cameron Ultra Marathon di Cameron Highlands, Pahang; Gunung Pulut dan Bukit Larut, Perak serta Gunung Rinjani, Indonesia.

Muhammad Hawari mengakui sukar menggambarkan perasaan dapat menjejakkan kaki ke ABC dengan altitud tinggi yang menyebabkan peserta mudah diserang penyakit akut gunung (AMS).

“Syukur kepada Allah dan terima kasih atas doa seluruh rakyat Malaysia, saya berjaya menakluk ABC.

“Kata semangat ahli keluarga dan sahabat banyak membantu saya melakukannya dengan izin Allah,” katanya.

Sementara itu, Azim Afif berkata, kejayaan peribadi Muhammad Hawari dalam ekspedisi pendakian itu sangat bermakna kerana beliau adalah salah seorang peserta OKU yang akan menyertai Misi Wawasan Everest 2020 tahun depan.

Berita Harian X