Sabtu, 12 Oktober 2019 | 4:17pm
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho.

Rangsangan kepada sektor digital untungkan e-dagang dan PKS

KUALA LUMPUR: Inisiatif untuk melonjakkan sektor digital bukan sahaja akan menguntungkan peserta e-dagang tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS), kata Shopee.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta dan RM70 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi melatih usahawan digital mikro serta pakar-pakar teknologi termasuk menubuhkan 14 hab sehenti Pusat Peningkatan Digital.

"Ini adalah sejajar dengan wawasan kami untuk terus mempertingkatkan kemahiran, mendidik dan menyediakan perniagaan tempatan ke arah penerimaan e-dagang.

"Langkah itu dilihat menepati masa memandangkan hanya 32 peratus daripada PKS Malaysia telah menerima pakai pendigitalan," kata Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai rakan kongsi MDEC, platform e-dagang itu akan melengkapkan inisiatif perbadanan tersebut dengan menggandakan usahanya termasuk memperuntukkan sumber dan tenaga kerja bagi mewujudkan asas yang kukuh dan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan menjalankan urus niaga dalam talian, khususnya melalui bengkel percuma Shopee University yang disediakan kepada penjual, katanya.

Selain itu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), yang merupakan kunci kepada 5G, secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pembeli dalam talian.

"Dengan sambungan Internet yang lebih baik, ianya akan membolehkan kami untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dengan lebih cekap, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan terpencil, yang masih tidak mempunyai akses kepada pelbagai jenis keperluan," kata Ho. - BERNAMA

Berita Harian X