Isnin, 11 November 2019 | 3:12pm

Sultan Kelantan sebak kenang kisah ayahanda

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebak ketika bertitah mengenangkan kisah ayahanda baginda yang gering sebelum mangkat pada 28 September lalu.

Baginda bertitah sempena Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad ke-50, di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Titahnya, dalam tempoh berkabung, baginda menzahirkan kesedihan dan dukacita yang amat sangat di atas kemangkatan ayahanda yang amat dikasihi, Sultan Ismail Petra pada 28 September.

Menceritakan coretan perjalanan pengakhiran Almarhum Sultan Ismail, baginda bertitah, tanggal 27 September jam 9.40 malam, ayahanda menggunakan alat sokongan penuh dan berada dalam keadaan sangat kritikal.

“Beta serta paduka adinda berangkat ke Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), hanya doa sahaja yang mampu dipanjatkan bagi memohon yang terbaik buat ayahanda.

“Pasukan doktor yang merawat juga masih berharap keajaiban dan ihsan dari Yang Maha Esa.

“Detik yang mendatang begitu meresahkan, kadar denyutan jantung menurun. Allahuakbar! Doktor yang menjaga sempat solat tahajjud, solat hajat dan solat witir di surau Wad Diraja.

“Jururawat lelaki yang menjaga Tuanku Sultan Ismail sentiasa membisikkan syahadah di telinga Tuanku dan bacaan Yassin diteruskan. Sesudah subuh, dimaklumkan oleh pihak HRPZ II, kadar denyutan jantung semakin menurun, dan beta serta bonda dan adinda berada di sisi Sultan Ismail,” titah baginda yang dalam keadaan sebak hampir empat minit.

Sultan Muhammad V sebak ketika bertitah bersempena hari keputeraan ke-50 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, bagi tahun 1441H / 2019M di Istana Balai Besar. - Ihsan Istana Kelantan

Sultan Muhammad bertitah, dengan kekuasaan dan kehendakNya, Tuanku Sultan Ismail kembali kepada Yang Maha Esa pada jam 8.11 pagi dan perkhabaran kemangkatan itu dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dan Setiausaha Negeri Kelantan serta Pengelola Istana.

“Beta berterima kasih kepada kerajaan negeri, pegawai kerajaan dan semua pihak yang banyak membantu dalam menyempurnakan istiadat pemakaman dan urusan dalam tempoh berkabung ini.

“Pada kesempatan ini, beta berterima kasih kepada Tengku Mahkota yang melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemangku Raja dengan cemerlang sepanjang tempoh pemangkuan,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bersalaman dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika berangkat tiba memeriksa perbarisan kehormat sempena Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad ke-50, di Istana Balai Besar, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X