Selasa, 19 November 2019 | 1:12pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Saya dengar mengenai pertemuan itu - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ada mendengar mengenai pertemuan antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, malam tadi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak tahu mengenai apa yang dibincangkan pada pertemuan itu.

“Saya dengar mengenai pertemuan itu tetapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau tahu mengenai pertemuan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan Ahli Parlimen BN di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Malam tadi, sekumpulan Ahli Parlimen BN hadir di kediaman Mohamed Azmin bermula jam 7 malam dan meninggalkan kediaman itu mulai jam 11 malam.

Antara Ahli Parlimen yang kelihatan ialah Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Ditanya sama ada beliau tahu pertemuan itu dijadualkan berlangsung semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengulangi jawapannya bahawa beliau hanya mendengar mengenainya.

Berita Harian X