Sabtu, 7 Disember 2019 | 7:51pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengadakan sidang media tergempar ketika berlangsungnya sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-14 di sebuah hotel, Ayer Keroh. NSTP/Rasul Azli Samad
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengadakan sidang media tergempar ketika berlangsungnya sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan ke-14 di sebuah hotel, Ayer Keroh. NSTP/Rasul Azli Samad

Si Kitol punca perwakilan, MPP tinggalkan Kongres PKR

KUALA LUMPUR: Seramai 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada sidang Kongres Nasional parti itu bagi membantah sesi perbahasan yang didakwa berat sebelah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa ucapan dasar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sorotan klasik mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada pembahas lain melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan serta ahli parti.

Mereka menjelaskan, harapan perwakilan dan pemerhati supaya ucapan dasar Presiden memberi fokus kepada dasar serta hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset.

“Penganugerahan yang berlangsung pagi tadi juga dilihat provokatif dan menafikan sumbangan besar pejuang PKR di peringkat akar umbi yang memerah keringat dan berkorban demi membangunkan parti keramat ini.

“Perbahasan oleh wakil yang dipilih secara berat sebelah juga dilihat tidak membawa suara ahli akar umbi. Ucapan-ucapan yang berlangsung hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, hal terbabit sekali gus memperlihatkan kegagalan Presiden untuk memenuhi janjinya bagi memastikan pembahas negeri patuh kepada perimeter ucapan yang dipersetujui bersama.

Berikutan insiden yang amat dikesali itu, ahli MPP membuat keputusan untuk tidak terus berada dalam dewan Kongres Nasional bagi mendengar kenyataan provokatif dan melanggar semangat persaudaraan PKR yang wajar ditonjokkan dalam kongres berkenaan.

“Kongres Nasional tahunan adalah medan terbaik untuk memperkukuh muafakat dan kesatuan ahli PKR. Wahana ini juga adalah medan untuk membahaskan dasar-dasar PKR yang kini merupakan parti peneraju dalam Kerajaan.

“Menyedari hakikat dan kepentingan untuk mencapai objektif ini, maka Presiden dan Timbalan Presiden serta ahli MPP PKR bertemu dalam satu mesyuarat khas pada 4 Disember lalu untuk menangani krisis kepemimpinan dalam parti berasaskan beberapa persetujuan.

“Antaranya adalah bersetuju mempertahankan tradisi dan konvensyen parti, perbahasan hanya akan memberi tumpuan kepada isu dasar dan pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

“Persetujuan ini dilaksanakan oleh Timbalan Presiden dengan cukup baik dan harmoni dalam Majlis Perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bersama Mohamed Azmin; Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; Ketua Wanita PKR, Haniza Mhamed Talha dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi serta Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham.

Ahli MPP pula adalah Amirudin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elezabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar dan Lee Khai Loon serta Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Berita Harian X