Ahad, 26 Januari 2020 | 4:50pm
Pemeriksaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi
Pemeriksaan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menggunakan alat pengesan suhu bagi pengesanan status kesihatan semasa. - Ihsan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi

Coronavirus: Dua kanak-kanak warga China dikuarantin

LANGKAWI: Dua beradik warganegara China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini kerana disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus (2019-nCoV).

Difahamkan, kanak-kanak perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun itu bersama-sama ibu bapa mereka dilaporkan berada di pulau ini, sejak Jumaat lalu untuk bercuti dan dimasukkan ke wad HSM, jam 1 tengah hari ini.

Pengarah HSM, Dr Mansor Ismail, berkata pihaknya masih membuat pemeriksaan lanjut berdasarkan simptom dan sejarah perjalanan mereka, sebelum tiba di Langkawi.

“Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan itu cuma disyaki sahaja dan kita sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.

“Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan wabak 2019-nCoV,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dr Mansor berkata, keluarga itu berasal dari Guangdong, China.

“Mereka tiba di Kuala Lumpur pada Isnin lalu sebelum meneruskan kunjungan ke Langkawi pada Jumaat.

“Dua kanak-kanak itu kemudian dilaporkan menunjukkan tanda-tanda kurang sihat termasuk selesema, demam dan batuk ketika berada di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata, tanda-tanda yang ditunjukkan kanak-kanak itu bersifat umum, tetapi disebabkan mereka datang dari China, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.

“Sampel pemeriksaan kita akan hantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), hari ini.

“Orang ramai di Langkawi tidak perlu risau sangat kerana mereka cuma disyaki sahaja dan pemantauan di pintu masuk ke Langkawi diperketatkan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X