Isnin, 3 Februari 2020 | 6:10pm
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) ketika sidang media mengenai situasi terkini jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) ketika sidang media mengenai situasi terkini jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

Malaysia puji China tangani penularan 2019-nCoV

PUTRAJAYA : Kerajaan China disifatkan melakukan tindakan yang terbaik dan telus dalam menangani penularan coronavirus baharu (2019-nCoV) berbanding ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kali ini, kerajaan China lebih rapi dan memaklumkannya kepada negara lain selain menutup bandar Wuhan yang dikatakan lokasi wabak berkenaan bermula.

“Tindakan kerajaan China itu perlu dipuji termasuk dalam perkongsian maklumat,” katanya pada sidang media harian 2019-nCoV di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha dan tindakan kerajaan China dalam menangani penularan 2019-nCoV sejak ia mula dikesan.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan Malaysia turut bekerjasama dengan negara rantau Asia Tenggara serta komuniti global dalam menangani virus itu.

Katanya, antaranya perkongsian maklumat melalui Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Kesihatan (SOMHD) yang diadakan di sini ketika ini antara negara ASEAN dan tiga negara lain iaitu Jepun, Korea Selatan dan China

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, tiada pertambahan kes positif 2019-nCoV sebaliknya kekal pada lapan kes dan kesemua mereka adalah warga China.

Berita Harian X