Isnin, 17 Februari 2020 | 7:18pm
Gambar fail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Gambar fail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai situasi terkini Covid-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pesakit tempatan pertama positif COVID-19 pulih sepenuhnya

PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan yang menjadi mangsa pertama positif coronavirus COVID-19 di negara ini, sudah dibenarkan pulang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata lelaki berusia 41 tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), dibenarkan pulang selepas dua ujian ulangan dibuat terhadapnya, menunjukkan keputusan negatif.

“Pesakit berkenaan ialah kes kesembilan, warga Malaysia pertama disahkan positif COVID-19.

“Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes COVID-19 dilaporkan sehingga hari ini, kekal 22 kes, dengan hanya 13 masih dalam rawatan di wad,” katanya.

Beliau memberitahu demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan telesidang bersama Menteri Kesihatan Kemboja, Prof Mam Bunheng, di kementeriannya, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, telesidang selama 15 minit diadakan bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam usaha menangani kejadian jangkitan COVID-19.

Menurutnya, komunikasi itu dijalankan melalui Institut Kesihatan dan Pemulihan (IHR) Focal Point Malaysia dan IHR Focal Point Kemboja.

Tambahnya, melalui perbincangan berkenaan beliau sudah memaklumkan bahawa pesakit warga Amerika Syarikat yang disahkan positif COVID-19 itu menunjukkan tahap kesihatan mangsa semakin baik.

“Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan COVID-19 ulangan turut dijalankan mengikut tatacara yang ditetapkan dan didapati pesakit berkenan masih positif.

“Saya dan Menteri Kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik. KKM akan terus bekerjasama rapat dengan semua negara terbabit dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pengurusan kes COVID-19 serta penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat.

“KKM ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta agensi berkaitan terbabit secara langsung atau tidak dalam menangani kejadian COVID-19. Kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada pihak KKM amatlah dihargai,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 melalui maklumat daripada pihak WHO.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, Kementerian Kesihatan akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X