Rabu, 26 Februari 2020 | 8:43pm
Undian menerusi Facebook di Twitter BH Online.
Undian menerusi Facebook di Twitter BH Online.

Ramai tak setuju kerajaan campuran

KUALA LUMPUR: Sebanyak 68 peratus daripada lebih 102,300 responden yang menyertai tinjauan pendapat Facebook Berita Harian Online, tidak bersetuju cadangan pembentukan kerajaan campuran tanpa memihak kepada mana-mana parti.

Namun, cadangan sama mendapat sokongan daripada lebih 65 peratus responden yang menyertai tinjauan menerusi Twitter Berita Harian.

Dalam tempoh tiga jam mulai 5 petang hingga 8 malam tadi, 68 peratus atau 69,564 pengunjung Facebook BH, tidak setuju dengan cadangan itu, manakala 32 peratus atau 32,736 pula menyokongnya.

Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam perutusan disiarkan secara langsung petang ini antara lain berkata jika dibenarkan, beliau berhasrat menubuhkan kerajaan campuran tanpa memihak kepada mana-mana parti.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat menerusi Twitter BH, mendapati sebanyak 65.7 peratus atau 2,905 bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan campuran.

Baki 34.3 peratus atau 1,516 menyatakan tidak setuju. Sebanyak 4,422 undi keseluruhannya sehingga jam 8 malam ini.

Seorang pengunjung Facebook yang menggunakan akaun Abd Hayyi Abd Aziz berkata, penubuhan kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti dikhuatiri akan menimbulkan huru-hara.

Pengguna Twitter dengan nama Desaman pula bersetuju dengan penubuhan kerajaan campuran namun dengan syarat pembentukan Kabinet dan barisan menteri haruslah yang benar-benar berkelayakan.

“Pilih menteri yang mahir dalam bidangnya, jangan seperti menteri agama dan menteri perpaduan, ” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X