Khamis, 27 Februari 2020 | 12:19am
Mukhriz ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas. - Foto Amran Hamid
Mukhriz ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas. - Foto Amran Hamid

Mukhriz jumpa EXCO bincang nasib kerajaan negeri

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan pertemuan bersama barisan EXCO Negeri Kedah di kediaman rasminya, Seri Mentaloon, di sini, malam tadi.

Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, dipercayai bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri susulan perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa EXCO dilihat memasuki Seri Mentaloon kira-kira jam 8.45 malam sebelum meninggalkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat kira-kira jam 11 malam.

EXCO Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf, berkata satu perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadual berlangsung pada jam 8 pagi ini.

“Esok pagi ada perjumpaan lagi dengan Menteri Besar dan semua ADUN. (Perjumpaan) Malam ini semua EXCO datang.

“Esok ada perjumpaan lagi, kita akan bincang lagi,” katanya ketika ditemui ketika meninggalkan Seri Mentaloon.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Halimaton Saadiah Saad, berkata situasi ketika ini adalah tenang dan baik.

“Setakat ini semua baik, untuk rakyat Kedah kita buat yang terbaik,” katanya ringkas.

Difahamkan, Mukhriz dijadual menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah pagi ini, sebelum mengadakan sidang media khas di Seri Mentaloon pada jam 11 pagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X