Khamis, 27 Februari 2020 | 6:12pm

Calon MB Johor akan dipersembah kepada Sultan

JOHOR BAHRU: Gabungan parti baharu akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk mempersembahkan cadangan nama calon Menteri Besar.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata ia akan dibuat sebelum susunan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu dilantik.

Katanya, gabungan parti baharu yang dibentuk itu juga sudah mendapat restu daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sudah menghadap Sultan Johor pada jam 12 tengah hari tadi.

“Gabungan parti baharu ini akan menghadap Sultan Johor bagi mempersembahkan cadangan nama calon Menteri Besar sebelum susunan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di Saujana di sini, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengandungi 14 wakil, masing-masing daripada UMNO dan DAP, diikuti 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU; Parti Amanah Negara (sembilan); PKR (lima); MIC (dua) dan PAS (satu).

Terdahulu, Sultan Ibrahim berpuas hati dengan cadangan penubuhan kerajaan negeri yang baharu gabungan BERSATU, UMNO, MIC, MCA dan PAS.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah, berkata hasil temubual baginda dengan 54 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir menghadap semalam, seramai 28 ADUN memilih gabungan baharu, manakala 26 memilih Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) selesai mengadakan sidang media di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) selesai mengadakan sidang media di Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X